Isnin, 23 Mei 2011

Menulis Memerlukan Kemahiran Berfikir Secara Kritis..

Kemahiran untuk berfikir secara kritis sesuatu topik

Bagaimana hendak berfikir secara kritis tentang sesuatu topik itu? Ini satu persoalan yang sukar untuk dijawab oleh kebanyakan pelajar kerana mereka tidak suka berfikir lalu menganggap berfikir membuang masa sahaja. Namun berdasarkan pengalaman saya dalam bidang penulisan, konsep berfikir inilah yang mencetuskan sesuatu idea untuk menulis. Semakin bagus seseorang pelajar itu berupaya untuk berfikir maka semakin baguslah penulisannya kelak kerana ideanya akan jelas dan matang ketika menghuraikannya.

Buat pelajar kemahiran berfikir ini perlu dimiliki terlebih dahulu sebelum mampu menulis. Untuk menulis, pelajar harus mengenal pasti masalah itu dan melihatnya daripada dua kemungkinan yang wujud. Pertama kesan masalah itu dan cara-cara untuk mengatasinya. Konsep kesan dan cara mengatasinya merupakan dua skop peperiksaan yang sering ditanya. Jika pelajar faham dua konsep utama ini, pelajar seharusnya sudah boleh berfikir tentang aspek-aspek yang menjurus kepada kesan dan cara ini.

Biasanya untuk mendidik seseorang pelajar itu berfikir secara kritis, konsep pertanyaan harus dijadikan asas perbincangan. Pelajar harus sedar bahawa semua tajuk yang ditanya boleh dilihat daripada dua sudut secara umum yakni positif atau negatif. Baiklah ambil contoh karangan tentang internet. Sudah pasti ada dua kesimpulan umum yakni kebaikan dan keburukan internet. Selalu fokus kepada dua kemungkinan tentang sesuatu perkara itu. Kewujudan dua kemungkinan ini memaksa pelajar untuk berfikir secara mendalam dan serentak tentang sesuatu perkara tersebut.

Buat pelajar yang mampu berfikiran kritis, mereka akan cuba menghuraikan perkara-perkara yang mampu dibawa oleh internet kepada pelajar sebagai satu bentuk pengetahuan. Fikir secara mendalam semua perkara yang anda nampak dalam internet yang mampu memberi pendidikan kepada pelajar. Dan tulis serta huraikan dengan panjang lebar. Setelah siap menulis, huraikan lagi perkara yang sudah anda huraikan kali pertama tadi. Maksud saya sudah pasti ada penerangan atau contoh lain yang berkaitan dengan isi yang anda tulis.

Setiap kali melihat sesuatu tajuk, pelajar harus selalu melihat dalam dua aspek. Huraikan kedua-dua aspek itu secara mendalam. Baca akhbar dan nampak sahaja sesuatu topik, sila fikirkan dua kemungkinan yang menyebabkan perkara itu berlaku dan sebabnya secara langsung.

1 ulasan:

  1. assalamualaikum.

    kunjungan blog :)

    berfikir kritis membuat hidup lebih baik

    BalasPadam