Isnin, 23 Mei 2011

Menulis Memerlukan Kemahiran Berfikir Secara Kritis..

Kemahiran untuk berfikir secara kritis sesuatu topik

Bagaimana hendak berfikir secara kritis tentang sesuatu topik itu? Ini satu persoalan yang sukar untuk dijawab oleh kebanyakan pelajar kerana mereka tidak suka berfikir lalu menganggap berfikir membuang masa sahaja. Namun berdasarkan pengalaman saya dalam bidang penulisan, konsep berfikir inilah yang mencetuskan sesuatu idea untuk menulis. Semakin bagus seseorang pelajar itu berupaya untuk berfikir maka semakin baguslah penulisannya kelak kerana ideanya akan jelas dan matang ketika menghuraikannya.

Buat pelajar kemahiran berfikir ini perlu dimiliki terlebih dahulu sebelum mampu menulis. Untuk menulis, pelajar harus mengenal pasti masalah itu dan melihatnya daripada dua kemungkinan yang wujud. Pertama kesan masalah itu dan cara-cara untuk mengatasinya. Konsep kesan dan cara mengatasinya merupakan dua skop peperiksaan yang sering ditanya. Jika pelajar faham dua konsep utama ini, pelajar seharusnya sudah boleh berfikir tentang aspek-aspek yang menjurus kepada kesan dan cara ini.

Biasanya untuk mendidik seseorang pelajar itu berfikir secara kritis, konsep pertanyaan harus dijadikan asas perbincangan. Pelajar harus sedar bahawa semua tajuk yang ditanya boleh dilihat daripada dua sudut secara umum yakni positif atau negatif. Baiklah ambil contoh karangan tentang internet. Sudah pasti ada dua kesimpulan umum yakni kebaikan dan keburukan internet. Selalu fokus kepada dua kemungkinan tentang sesuatu perkara itu. Kewujudan dua kemungkinan ini memaksa pelajar untuk berfikir secara mendalam dan serentak tentang sesuatu perkara tersebut.

Buat pelajar yang mampu berfikiran kritis, mereka akan cuba menghuraikan perkara-perkara yang mampu dibawa oleh internet kepada pelajar sebagai satu bentuk pengetahuan. Fikir secara mendalam semua perkara yang anda nampak dalam internet yang mampu memberi pendidikan kepada pelajar. Dan tulis serta huraikan dengan panjang lebar. Setelah siap menulis, huraikan lagi perkara yang sudah anda huraikan kali pertama tadi. Maksud saya sudah pasti ada penerangan atau contoh lain yang berkaitan dengan isi yang anda tulis.

Setiap kali melihat sesuatu tajuk, pelajar harus selalu melihat dalam dua aspek. Huraikan kedua-dua aspek itu secara mendalam. Baca akhbar dan nampak sahaja sesuatu topik, sila fikirkan dua kemungkinan yang menyebabkan perkara itu berlaku dan sebabnya secara langsung.

Impak Pengambilan Gula Terhadap Manusia..

Gula sememangnya banyak memberi manfaat kepada manusia. Walau bagaimanapun, pengambilan gula yang berlebihan dapat mengundang pelbagai masalah kesihatan yang kronik kepada manusia. Jelaskan.

Badan kita memang memerlukan gula untuk memastikan semua fungsi badan berjalan dengan lancar. Cuma pengambilan gula secara berlebihan boleh membawa pelbagai masalah kepada seseorang itu terutamanya untuk jangka masa panjang. Mereka yang tidak mengawal pengambilan gula akan menderita penyakit yang kronik lalu mampu menganggu kualiti kehidupan mereka pula.

Sebenarnya gula memang ada manfaat dalam industri makanan dunia. Makanan yang mengandungi gula lebih tahan lama ketika disimpan selain menambahkan lagi rasa manis dan sedapnya. Kita sering menilai nilai sesuatu makanan itu berdasarkan kandungan gulanya sehingga makanan yang pahit tidak digemari tetapi makanan yang bergula dianggap makanan yang menyelerakan. Gula menjadikan cara manusia menikmati makanannya lebih bermakna dan menyelerakan.

Selain itu, gula juga menjadikan ubat-ubat lebih mudah untuk ditelan oleh kanak-kanak kerana gula digunakan untuk menjadikannya manis. Kanak-kanak lebih mudah untuk mengambil sesuatu ubat itu seperti ubat batuk dan vitamin jika manisan digunakan bersama-samanya lalu kesihatan kanak-kanak itu lebih baik. Bayangkan jika gula tidak ada sudah pasti ibu bapa dan doctor mengalami kesukaran untuk memberikan ubat kepada pesakit kanak-kanak mereka? Gula yang dikenali sebagai glukosa juga sering diberikan sebagai bahan untuk memberikan tenaga kepada pesakit.

Namun, gula yang diambil terlalu banyak atau tanpa kawalan berupaya membawa kemudaratan terutamanya menjadikan gigi seseorang itu rosak. Biasanya kandungan makanan yang lebih banyak gula akan menyebabkan gigi mempunyai plak yang lebih baik. Bakteria yang wujud dalam plak itu lama kelamamaan akan menyerang enamel gigi manusia sehingga menjadikannya sakit dan terpaksa dicabut.

Malahan, seseorang yang berterusan mengambil gula berlebihan akan mengakibatkan mengalami penyakit kronik terutamanya diabetes dan sakit jantung. Kencing manis berlaku kerana pancreas manusia gagal untuk mengeluarkan insulin yang mampu untuk menguraikan kandungan gula dalam badan manusia itu. Akibatkan kandungan gula yang berlebihan dalam tubuh akan disimpans ebagai lemak lalu seiring dengan masa slauran darah akan tersumbat menyebabkan aliran darah terganggu dengan teruknya. Seseorang itu akan mengalami serangan sakit jantung akhirnya.

Konklusinya, gula merupakan sejenis perisa manis yang tidak berapa diperlukan oleh manusia kerana manusia masih boleh hidup tanpa mengambil gula berlebihan. Makanan semulajadi manusia sudah mengandungi kandungan gula yang cukup untuk seseorang manusia itu. Lantaran itu, seseorang yang mengambil gula berlebihan pasti akan mengalami masalah kesihatan yang boleh membawa maut pula suatu masa nanti..^_*

Karangan PMR 2011..Kemalangan Jalan Raya??

Kadar kemalangan jalan raya begitu meningkat setiap tahun.

Huraikan punca-puncanya.

Kemalangan jalan raya ialah peristiwa ngeri yang biasanya melibatkan perlanggaran dua kenderaan atau lebih di jalan raya atau pun lebuh raya. Kemalangan sebegini biasanya boleh membawa kecederaan dan juga kematian. Negara kita merupakan antara negara yang mempunyai angka kematian akibat kemalangan yang tinggi. Oleh itu ada banyak punca yang harus kita kaji untuk memahami masalah ini.

Punca pertama ialah kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk atau tidak sedarkan diri. Ada juga yang tidak suka menjaga kenderaan mereka lalu kemalangan boleh berlaku kerana masalah brek, tayar dan sebagainya. Mereka tidak menghiraukan keselamatan orang lain ketika memandu kerana menganggap mereka cekap mengawal stering kenderaan. Jadi, kemalangan mudah berlaku akibat kecuaian mereka ini.

Selain itu kemalangan juga disebabkan oleh keadaan jalan raya yang tidak baik. Biasanya jalan raya menjadi lebih bahaya ketika waktu hujan turun kerana air hujan menyebabkan jalanraya menjadi lebih licin lalu sukar untuk dikawal jika pemandunya tidak berhati-hati. Begitu juga dengan keadaan jalan raya yang tidak lurus dan turun naik yang menyukarkan pemandu untuk memberi tumpuan lalu mudah berlakunya peristiwa ngeri ini. Maka, keadaan jalan raya harus diubah supaya menjadi lebih selamat buat pengguna jalan raya.

Malah, ada pihak yang menyalahkan pemandu baru yang menyebabkan kemalangan terus menerus berlaku di negara ini. Mereka dikatakan tidak mahir untuk mengawal kenderaan terutama ketika dalam keadaan kecemasan yang menyebabkan banyak yang panik. Golongan muda juga diselar kerana mereka biasanya suka memandu dengan bahaya dan laju. Sesungguhnya, satu alat mekanisme baru harus dicari untuk memastikan tahap pemanduan pemandu baru mencapai piawaian yang baik.

Jumlah kemalangan bertambah juga berkaitan dengan jumlah kenderaan yang bertambah setiap tahun. Pertambahan bilangan kenderaan menjadikan lalu lintas begitu sibuk dan penuh dengan kenderaan. Sudah pasti keadaan ini meningkatkan peratusan untuk sesuatu kemalangan itu berlaku di jalan raya. Jelaslah, semakin banyak kenderaan di jalan raya risiko untuk kemalangan berlaku amat tinggi.

Kesimpulannya, kadar kemalangan jalan raya di negara ini begitu menakutkan kita semua. Satu usaha yang berani harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk menghalang masalah ini menular lagi. Kita harus sedar bahawa nilai nyawa manusia begitu berharga. Pandu cermat jika selamat.

~Mengurus Masa Belajar~

Pelajar perlulah bijak menguruskan masa mereka agar dapat diseimbangkan antara aktiviti mengulangkaji dengan aktiviti-aktiviti lain.  Kegagalan mengurus dan mengatur masa dengan berkesan antara faktor kegagalan dalam pelajaran.  Sebagai pelajar anda mestilah:
  1. Pastikan waktu mengulangkaji anda lebih daripada 3 jam sehari.  Malah semakin hampir dengan peperiksaan anda perlu belajar sehingga 5 - 7 jam sehari.  Jangan pula salah faham, maksud 5 - 7 jam ini bukanlah belajar secara berterusan.  Anda mungkin belajar 1 jam di waktu subuh, 2 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam.  Ini menjadikan masa belajar anda 6 jam sehari.
  2. Tahap konsentrasi atau tumpuan belajar adalah berbeza.  Ada pelajar yang boleh tumpu selama 1 jam dan ada pula yang hanya bertahan selama 20 minit.  Jangan paksa diri anda.  Sekiranya anda rasakan tumpuan anda mula terganggu, ambillah rehat seketika.  Iaitu lebih kurang 5 minit.  Selepas itu sambung semula belajar.  Sebelum anda sambung belajar, cuba imbas kembali apa yang telah anda ketahui sebelumnya.  
  3. Dalam satu sessi belajar, pelbagaikan aktiviti belajar anda supaya tidak jemu.  Selang selikan aktiviti membaca dengan membuat nota, menceritakan semula apa yang telah dipelajari, membuat peta minda atau peta konsep, menjawab soalan-soalan, melakar rajah dan sebagainya.
  4. Jangan letakkan matlamat membaca yang terlalu besar.  Jumlah bahan yang mahu diulangkaji mestilah anda tahu yang anda mampu menghabiskannya dalam masa belajar yang telah ditetapkan.  Misalnya, meletakkan matlamat untuk membaca 100 muka surat dalam masa 1 jam adalah tidak realistik.  Sebaliknya, matlamat untuk menghabiskan dan memahami 20 mukasurat lebih munasabah dan boleh dicapai.
  5. Sediakan jadual belajar atau perancangan mingguan tetang bahan-bahan yang mahu diulangkaji.  Dengan adanya jadual belajar ini maka anda tahu berapa banyak bahan yang perlu dihabiskan setiap minggu bagi membolehkan anda bersedia sebelum peperiksaan.
  6. Sediakan senarai tugas harian ("TO DO" lists) pada malam sebelumnya.  Maknanya anda tahu apa yang mahu disiapkan esok hari.  Tentukan tahap keutamaan dan kepentingan setiap butiran tugas yang telah disenaraikan.  Seperti yang dikatakan oleh Stephen Covey "Put first things first".
  7. Rekodkan progress anda pada sehelai kertas.  Setakat mana telah anda jayakan perancangan anda? Pangkah setiap tugas yang telah diselesaikan dengan jayanya dalam senarai “to do” anda.
  8. Ganjari diri anda setiap kali anda berjaya mencapai setiap perancangan yang telah anda senaraikan.
  9. Gunakan teknik membaca yang berkesan.  Membaca 1 jam penuh tumpuan lebih baik dari membaca 3 jam dengan fikiran melayang.
  10. Fokus sekurang-kurangnya 50% daripada masa belajar anda terhadap proses “RECALL”.  Iaitu proses memanggil semula maklumat.
  11. Gunakan Kad Kecil untuk memenuhi pecahan masa yang kecil-kecil diantara kelas, ketika menunggu, selepas rehat sebelum masuk kelas, dan lain-lain.  Sekiranya anda hitung pecahan masa yang kecil-kecil ini anda akan dapati jumlahnya 1 - 2 jam dalam sehari.  Oleh itu manfaatkan pecahan masa ini dengan mengimbas Kad Kecil.
  12. Tahukah anda sekiranya anda belajar konsisten 1 jam sehari, ini bermakna anda hanya belajar selama 15 hari sahaja dalam setahun?  Kemana perginya lagi 350 hari masa anda?

Sabtu, 21 Mei 2011

Cara-cara Menjadikan Kehidupan Warga Emas Lebih Baik?

Warga tua semakin ramai di negara ini ekoran tahap kesihatan negara yang semakin baik. Cuma jumlah yang banyak ini telah menimbulkan pelbagai masalah pula.

Nyatakan langkah-langkah yang patut dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kehidupan warga tua semakin baik.


Warga emas merupakan golongan yang semakin ramai di negara ini kerana tahap kesihatan negara yang semakin baik. Jadi tidak hairanlah kalau kita sering ternampak warga emas ini. Namun, keadaan ini turut menyebabkan kita terdesak untuk mencari jalan membantu golongan ini semakin ramai supaya mereka mampu menikmati kehidupan dengan lebih baik. Apakah langkah-langkah yang mampu kita lakukan dalam isu ini?

Kerajaan seharusnya memberi mereka lebih banyak insentif dalam menjalani kehidupan harian. Tambang separuh harga untuk pengangkutan awam negara merupakan satu langkah awal. Begitu juga dengan pengangkutan udara dan kereta api. Dalam perkhidmatan kesihatan, kerajaan seharusnya memberikan potongan harga atau rawatan percuma kepada golongan ini dalam penyakit-penyakit tertentu. Maka, langkah ini mampu memberi keselesaan hidup kepada warga emas ini.

Malah, kerajaan harus menyediakan lebih banyak rumah khas untuk warga tua ini. Rumah yang dibina mestilah sesuai dengan mereka yang memerlukan kawasan yang luas, berhampiran taman, laut atau dilengkapi kemudahan kesihatan yang lengkap. Rumah yang disediakan ini harus secara percuma dan didiami oleh beberapa warga tua yang lain untuk menjadikan suasana di rumah itu lebih ceria dan menarik. Reka bentuk rumah tersebut haruslah moden dan tidak nampak membosankan.

Selain itu, kerajaan harus mengadakan satu majlis khas atau tarikh untuk warga emas ini. Pada hari yang sudah diumumkan cuti umum itu, kerajaan perlulah mengadakan pelbagai aktiviti yang bercorak warga emas. Aktiviti beramah mesra dengan generasi muda harus dijalankan terutama untuk memberi kesedaran betapa warga emas dan muda saling memerlukan antara mereka. Interaksi ini turut memberi remaja satu peluang mendengar pengalaman yang dialami oleh warga emas.

Lantaran itu, kerajaan perlu mengadakan program bercorak ekonomi yang mampu menjana pendapatan kepada warga emas ini. Pendapatan itu pula boleh disalurkan untuk kepentingan warga tersebut. Semua aktiviti yang dijalankan mestilah bersesuaian dengan keadaan fizikal warga emas. Langkah ini turut menjadikan kehidupan mereka lebih menarik dan tidak membosankan. Warga emas turut berpeluang untuk menggunakan idea mereka ke arah sesuatu yang lebih bermakna.

Jadi, warga emas seharusnya dibelai dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Warga emas mempunyai satu pengalaman yang mampu dipelajari oleh semua orang. Warga emas mampu memberi nasihat dan pandangan terhadap sesuatu perkara yang berlaku kerana mereka telah mengalami semua perkara yang bakal dialami oleh masyarakat. Kita harus menjaga warga emas setelah mereka menjaga kita selama ini.